Perbahasan saya dengan Timbalan Menteri Kewangan I di Parlimen pada 25hb Jun 2012.
Timbalan Menteri Kewangan I [Datuk Dr. Awang Adek Hussein]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Pertamanya, soal jumlah subsidi RM7.5 bilion yang diperuntukkan di dalam Perbekalan Tambahan ini. Ingin saya nyatakan bahawa sama ada ini melibatkan BR1M atau tidak, seperti mana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Indera Mahkota, sebenarnya tidak, RM7.5 bilion ini tidak termasuk BR1M. Ini adalah subsidi petroleum, diesel dan gas dan itu pun hanya kepada yang dikenakan kepada pengguna. Bermakna persoalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Jasin sama ada ia juga meliputi subsidi gas kepada pihak IPP, tidak termasuk di sini, IPP tidak termasuk.
Ketiganya, Yang Berhormat Jasin ada bertanya tentang apakah jumlah RM7.5 bilion ini mengambil kira harga minyak yang kelihatan agak menurun di bahagian kedua tahun ini berbanding dengan bahagian pertamanya. Memang harga minyak pada pertengahan pertama yang jumlah puratanya USD126 setong jauh lebih tinggi daripada yang dianggarkan ataupun yang diunjurkan sebelum ini USD110. Akan tetapi memandangkan bahawa harga minyak ini dijangka akan berkurangan di pertengahan kedua, maka jumlah RM7.5 bilion ini sudah memadai. Pada pertengahan pertama, jumlah ini adalah lebih besar iaitu sebanyak RM12 bilion...
Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Minta penjelasan.
Datuk Dr. Awang Adek Hussein: Ya, Yang Berhormat Bandar Kuching.
Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Tadi Yang Berhormat kata harga minyak pada masa ‘dibajetkan’ pada tahun lalu adalah dijangka lebih kurang USD110 setong tetapi dalam pertengahan awal tahun ini, ia naik kepada puratanya USD126 setong. Oleh itu, kita hendak minta satu tambahan untuk subsidi-subsidi, tambahan dana untuk subsidi yang lebih kurang RM7.5 bilion. Soalan saya adalah kalau kita tengok peruntukan asal, peruntukan asal untuk subsidi ini adalah RM17 bilion dan sekarang kita minta satu tambahan RM7 bilion. Kalau kita bandingkan di antara harga minyak yang di luar jangka, ia lebih kurang 10% atau 15% lebih daripada yang dijangkakan. Akan tetapi kenapa subsidi yang diminta sekarang adalah lebih daripada 30% ke 40% daripada yang originally, asalnya diperuntukkan. Bolehkah minta satu penjelasan di atas ini?
Datuk Dr. Awang Adek Hussein: Terima kasih Yang Berhormat Bandar Kuching. Sebenarnya soalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat ini telah pun ditimbulkan dan dijawab di peringkat dasar. Pertanyaan RM17 bilion itu sebenarnya pada masa itu merangkumi dua aspek. Satunya, subsidi minyak dan satu lagi adalah untuk BR1M, untuk bantuan rakyat yang diperuntukkan pada masa itu sebanyak RM5 bilion. Jadi sebenarnya RM12 bilion sahaja Yang Berhormat, saya sudah sebut dahulu. Oleh sebab itu, kalau dilihat RM12 bilion ini tidaklah merupakan penambahan yang begitu besar.
Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Minta penjelasan.
Datuk Dr. Awang Adek Hussein: Yang Berhormat tidak ada tanya pun.
Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Tidak ada peluang tadi. Yang Berhormat Bandar Kuching pun tidak ada ucap tadi.
Datuk Dr. Awang Adek Hussein: Ada, okeylah pendek ya Yang Berhormat.
Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya hanya hendak tanya sedikit. Saya rasa sekarang kita hendak minta subsidi untuk petroleum tetapi sebenarnya subsidi untuk bahan-bahan yang lain sebenarnya telah dikurangkan. Saya beri beberapa contoh seperti subsidi untuk baja padi. Pada tahun 2011, subsidinya ialah sebanyak RM756 juta tetapi pada tahun ini subsidi adalah sebanyak RM409 juta sahaja.
Satu contoh lagi adalah pada tahun 2011 kita ada Dasar Jaminan Bekalan Makanan dan subsidinya adalah sebanyak RM400 juta tetapi pada tahun ini kita langsung tidak ada subsidi ini.
Jadi, saya hendak tanya sedikit sekiranya kita telah menjimatkan begitu banyak subsidi untuk bahan-bahan yang lain seperti subsidi baja padi, subsidi beras, Dasar Jaminan Bekalan Makanan, gula dan untuk banyak lagilah, kenapa sekarang kita perlulah tambah lagi subsidi. Kenapa kita tidak boleh guna itu subsidi untuk bahan-bahan tersebut untuk petroleum.
Kedua, saya hendak tanya di sini, harga jualan petroleum RON97 telah dikurangkan sebanyak 10 sen pada 7 Jun. Saya hendak tanya di sini sama ada kerajaan kita adalah berhasrat untuk juga turunkan harga jualan untuk RON95 kerana saya rasa pengguna petrol RON97 hanyalah lebih kurang 14% di negara kita. Maksudnya sebanyak 86% pengguna kenderaan tidak dapat menikmati manfaat ini melalui penurunan harga jualan untuk petrol RON97. Jadi, bolehkah Kerajaan Pusat bersedia untuk hendak turun sedikit harga RON95 juga. Terima kasih.
Datuk Dr. Awang Adek Hussein: Terima kasih Yang Berhormat. Inilah soal yang ditimbulkan tadi dari segi subsidi perlu menepati sasaran. Jadi, kalau kita mengurangkan subsidi melalui pembebasan harga RON97 supaya tidak terikat dengan subsidi yang terlalu banyak. Ini kerana dijangka ia adalah digunakan oleh golongan-golongan yang mampu, kereta besar barangkali dia hendak minyak dia yang premium. Akan tetapi yang RON95 ini ditetapkan harganya. Bila ditetapkan harga, kita tidak boleh hendak adjust harga ini mengikut pasaran. Yang kita adjust nya RON97. Jadi, kalau kita adjust semuanya nanti bila naik macam mana? Oleh sebab itu, kita tidak boleh mengambil kesempatan bila harga turun kita hendak adjust semua, bila harga naik bagaimana.
Yang keduanya ialah dari segi subsidi barangan-barangan lain. Kita bincang ini adalah peruntukan subsidi khusus untuk petroleum sahaja. Yang barangan lain itu ia termasuk dalam peruntukan lain. Kalau padi, beras ia pergi kepada peruntukan untuk Kementerian Pertanian. Yang ini bahkan peruntukan untuk subsidi lain gula, gandum, tol, ada item-item lain. Jadi, yang kita bincangkan subsidi RM7.5 bilion ini adalah khusus untuk minyak sahaja.
Tuan Chong Chieng Jen [Bandar Kuching]: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Saya ada sedikit terkeliru dengan jawapan yang diberi oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri mengenai bahawa itu peruntukan asalnya itu RM17 bilion adalah meliputi BR1M RM5 bilion juga. Maka, kalau begitu peruntukan asal untuk subsidi minyak adalah lebih kurang RM12 bilion. Kalau begitu, tambahan yang diminta untuk diluluskan dalam supplementary budget ini adalah RM7.4 bilion. Ini merupakan satu permintaan supplementary budget yang lebih lagi itu daripada percentage. It’s a RM7.5 bilion lebih daripada RM12 bilion yang asalnya untuk itu subsidi diesel. Ini merupakan satu pertambahan lebih daripada 50% tetapi harga minyak yang naik luar daripada jangka, itu yang dijangkakan oleh kementerian adalah lebih kurang 15% sahaja. Kenapa ini boleh terjadi sedangkan itu kenaikan harga minyak adalah 15% daripada yang dijangkakan. Akan tetapi subsidi yang dibayar untuk minyak adalah 50% lebih.
Datuk Dr. Awang Adek Hussein: Okey, terima kasih. Sudah faham Yang Berhormat. Isu ini sudah saya jelaskan. Saya tidak tahu masa itu Yang Berhormat tidak ada di sinikah masa peringkat dasar. Jadi, kita tidak hendak peringkat dasar jadi ambil masa banyak. Yang pentingnya, kita sudah ada peruntukan dan kita sudah buat unjuran. Kalau tidak cukup maka kita mintalah tambahan. Minta tambahan ini pun dijangka tidaklah begitu banyak. Kalau tidak habis, kalau harga minyak itu tidak seperti yang kita jangkakan, maka tidak apalah. Lagi bagus untuk kita selamatkan nanti supaya kita tidak berbelanja. Saya rasa tidak ada masalah sangat itu. Kalau kita rasa tidak cukup, kita minta. Kalau sudah diluluskan maka kita gunakanlah. Itu pun ia bergantung, subsidi ini semuanya bergantung kepada harga minyak. Ia tidak ada boleh kata kita gunanya yang lain-lain. Jadi, peruntukan itu khusus untuk harga minyak. Kalau harga minyak dia turun, tidak perlu belanja lagi bagus. Apa lagi..., ada lagi?
Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Berkaitan itu harga jualan untuk RON95 dan RON97.
Setakat pengetahuan saya, sekarang harga minyak untuk RON95 adalah seliter harga jualannya adalah sebanyak RM1.90 dan minyak ini ada terima subsidi yang sebanyak RM1.45. Jadi, sebenarnya harga asal yang tambah itu subsidi adalah sebanyak RM3.35. Akan tetapi sekarang RON97 kalau saya tidak silap dengar memang tidak terima apa-apa subsidi daripada Kerajaan Pusat. Minyak RON97 mutunya lebih tinggi tetapi harganya ikut harga pasaran antarabangsa, hanya merupakan RM2.80. Jadi, sini yang saya tidak faham. Sepatutnya RON95 kualitinya bukan begitu, bukan setanding dengan RON97. Jadi, harga jualannya sepatutnya lebih rendah tetapi sekarangnya harga asasnya yang tanpa subsidi itu adalah lagi tinggi daripada RM2.80. Jadi, sini saya memang tidak faham dan minta penjelasan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Datuk Dr. Awang Adek Hussein: Tidak apa Yang Berhormat. Saya rasa nanti Yang Berhormat bila ada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kepenggunaan itu minta. Mereka lebih fasih daripada saya. Saya hendak jaga subsidi peruntukan ini, ya Yang Berhormat, terima kasih ya.
Previous in This Category: Persimpangan Jalan Serdang Raya / Jalan Puchong-Sungai Besi Next in This Category: Pembahasan dengan Ahli Parlimen Kota Belud YB Dato’ Abd Rahman Dahlan Tentang Isu Tol

Malaysian Bar Council