Selamat menyambut Hari Malaysia!!
Hari ini menandakan Ulang Tahun penubuhan Malaysia yang ke-47. Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia kepada semua warga Malaysia mahupun dari Sabah dan Sarawak atau dari Semenanjung Malaysia!! Tokoh-tokoh negara dan seluruh rakyat di peringkat akar umbi dari Malaysia Timur dan Malaysia Barat telah meraikan penubuhan Malaysia buat pertama kali pada 13 September 1963 yang lalu. Walau bagaimanapun, selepas 47 tahun berlalu, permuafakatan yang dipersetujui oleh rakyat di Malaysia Timur dan Malaysia Barat masih belum lagi menjadi kenyataan.
Banyak kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak yang masih dipinggirkan dari arus pembangunan yang dinikmati oleh rakyat yang menetap di kawasan perbandaran terutamanya di Semenanjung Malaysia. Untuk makluman saudara dan saudari sekalian, banyak kawasan pedalaman di kedua-dua negeri ini langsung tidak dilengkapi dengan sebarang kemudahan bekalan air dan bekalan elektrik. Malahan jalan tanah merah yang paling asas juga tidak kelihatan! Rangkaian jalan tar dan jalan raya yang menghubungkan setiap kawasan perumahan di Semenanjung Malaysia ibarat mimpi yang tidak mungkin tercapai oleh penduduk-penduduk kaum orang asli yang menetap di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Saya rasa kini, sudah tiba masa bagi semua rakyat di Malaysia Timur dan Malaysia Barat bersama-sama mengotakan semua permuafakatan yang tertera dalam Perjanjian Penubuhan Malaysia yang ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Sekadar pengiktirafan 16 September sebagai hari cuti umum seluruh negara adalah tidak memadai untuk kita menghayati semangat penubuhan Malaysia. Kita perlu berusaha menjana dan mewujudkan suatu sistem pentabiran negara yang dapat membantu dan membangun semua lapisan masyarakat secara adil dan saksama tanpa mengira faktor geografi tempat menghuni, agama, kaum dan status sosial.
Masalah kesuntukan kewangan kerajaan sepertimana yang dikhuatiri oleh Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri YB Senator Datuk Seri Idris Jala tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh kerajaan untuk melengahkan penyaluran sumber pembangunan kepada semua golongan miskin di seluruh lapisan masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan. Negara kita tidak pernah dilandai masalah kekurangan sumber alam semula jadi seperti negara-negara miskin yang lain. Antara faktor-faktor yang mengancam rakyat jelata daripada menikmati hasil pembangunan negara ialah pentadbiran kerajaan yang tidak efisyen dan amalan rasuah dan budaya kroni golongan-golongan pemerintah yang hanya menguntungkan rakan kongsi perniagaan, ahli keluarga dan sanak-saudara sendiri tetapi menanduskan sumber awam negara.

Malaysian Bar Council
1樓
1樓搶頭香
Benar, sebagai warga Sarawak apa yang YB perkatakan
itu memang benar. Kemudahan infrastruktur dan
prasarana masih banyak lagi yang belum dinikmati
oleh sebahagian besar penduduk di kawasan luar
bandar di Sarawak walaupun sudah 47 tahun merdeka
dalam pembentukan Malaysia.Jika difikirkan dengan
sumber kekayaan yang ada bagi negeri Sarawak, agak
mustahil kemajuan itu begitu lambat diusahakan. Kita
tidaklah mengharapkan akan terbinanya banyak
bangunan tinggi-tinggi, namun kemudahan asas seperti
elektrik, air dan jalan raya itu lebih utama bagi
keselesaan hidup dan mobiliti penduduk luar bandar
dalam usaha mereka meningkatkan taraf hidup untuk
bekerja dan menuntut ilmu di kawasan bandar atau
pekan. Masa banyak terbuang dalam perjalanan meredah
sungai, lurah dan belantara. Isu pembangunan
sebegini masih lagi relevan untuk diperjuangkan di
Sarawak. Harap Pakatan Rakyat mampu memberi pakej
pembangunan yang lebih baik berbanding dengan BN
yang sekian lama memerintah.