Dato’ Abd Rahman Dahlan [Kota Belud] minta Menteri Kewangan menyatakan kenapa kedai-kedai dibenarkan mengenakan caj kad kredit “extra” kepada pembeli yang menggunakan kad kredit.
Menteri Kewangan II [Dato’ Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah]: Tuan Yang di-Pertua, peniaga adalah dilarang untuk mengenakan caj tambahan atau dipanggil sebagai surcharge. Ini adalah selaras dengan peraturan yang dikenakan oleh syarikat penjenamaan kad seperti MasterCard, Visa, MS dan sebagainya. Di samping itu, di antara institusi pengeluar kad kredit dengan peniaga, mereka mempunyai perjanjian. Oleh yang demikian, mana-mana individu yang telah dikenakan caj yang berlebihan, mereka boleh membuat laporan kepada institusi kewangan yang mengeluarkan kad kredit dan tindakan akan diambil termasuk membayar balik kerugian yang telah dialami oleh pembeli.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Kota Belud.
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri. Saya faham apa yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Menteri bahawa ini adalah tanggungjawab mungkin syarikat kewangan yang mengeluarkan kad-kad kredit tersebut. Akan tetapi, perkara ini sudah berleluasa Yang Berhormat Menteri dan ia merupakan satu, pada sayalah, they like robbery, di mana harga diletakkan sekian banyak dan kalau kita mengeluarkan kad kredit, kita dicaj 2%. Jadi saya ingin mencadangkan, oleh kerana syarikat-syarikat pengeluar kad kredit ini tidak mempunyai tenaga penguatkuasaan dan kuasa, saya minta kalau boleh Bank Negara diberi kuasa untuk memantau. Kita cari jalan bagaimana caranya untuk mengadakan penguatkuasaan melalui proses undang-undang supaya 2% ini tidak dicaj extra oleh peniaga-peniaga tersebut. Kita tidak boleh beri tanggungjawab ini, penyelesaiannya diberi kepada syarikat-syarikat pengeluar kad kredit ini Yang Berhormat Menteri, tetapi mesti dari pihak kerajaan.
Menteri Kewangan II [Dato’ Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah]: Terima kasih atas pandanganYang Berhormat. Akan tetapi, kita melihat dari segi nature negara kita Tuan Yang di-Pertua, negara kita mempunyai ramai pembeli dan juga penjual dan ramai juga yang menggunakan kad kredit. Jadi, pandangan Yang Berhormat itu saya maklum dan saya ambil perhatian, tetapi adalah lebih mudah jika pembeli juga mengambil tindakan dengan membuat laporan kepada institusi yang mengeluarkan kad kredit dan tindakan boleh diambil serta-merta.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Serdang.
Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, memanglah penggunaan kad kredit semakin menjadi popular dan juga meningkat dan kebelakangan ini kerajaan berniat untuk mengimplikasikan satu polisi yang baru, iaitu setiap kad kredit akan dicaj sebanyak RM50.
Saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri kerana menurut satu jawapan dari Menteri Kewangan yang bertarikh 17 November, menurut jawapan ini, beliau telah menyatakan di sini bahawa tahap penggunaan kad kredit pada masa ini masih terkawal dan pinjaman melalui penggunaan kad kredit tidak berada pada tahap kritikal. Jumlah terkumpul hutang kad kredit adalah sebanyak RM25.6 bilion pada akhir bulan Ogos 2009 atau 3.4% daripada jumlah pembiayaan keseluruhan institusi perbankan. Tahap pinjaman tidak berbayar, non-performing loan kad kredit juga masih terkawal dan telah menurun kepada 2.4% daripada jumlah hutang kad kredit pada akhir bulan Ogos 2009.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Soalan.
Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Jadi soalan kepada Yang Berhormat Menteri adalah, polisi ini tujuannya adalah untuk mengutip cukai yang lebih banyak daripada rakyat ataupun memang hendak mengatasi masalah yang telah ditimbulkan melalui penggunaan kad kredit? Ini kerana, dalam jawapan ini memang kerajaan sendiri telah mengakui bahawa penggunaan kad kredit masih terkawal dan bukan satu isu yang besar. Jadi saya hendak tanya, apakah tujuan untuk mengimplikasikan polisi yang baru itu?
Menteri Kewangan II [Dato’ Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah]: Tuan Yang di-Pertua, kita melihat kepada gambaran yang lebih besar. Kita hendak melahirkan satu sistem di mana budaya penggunaan kad kredit ini adalah budaya yang berhemah. Benar kata Yang Berhormat bahawa terkawal, tetapi kita mesti lihat bahawa ada individu yang tahap kemampuan perbelanjaannya tidak tinggi, tetapi menggunakan kad kredit yang begitu banyak dan ini telah meningkatkan perbelanjaan bagi individu tersebut. Jadi, antara lain, tujuan kad kredit ini adalah supaya kita mewujudkan satu budaya yang berhemah supaya pada masa akan datang kita tidak berhadapan dengan masalah penggunaan kad kredit yang berleluasa. Seperti mana kita maklum di Amerika Syarikat dan Eropah, di antara punca kejatuhan ekonomi dunia adalah berpunca daripada perbelanjaan berlebihan luar daripada ruang rangka kemampuan individu untuk berbelanja.
Terima kasih.